Login | Site map |  English Bahasa Malaysia | 2 active visitors
CURAHAN PENDAPAT

ADA YANG MENUNGGU ‘KERAJAAN KATAK’ DI KEDAH


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Seratus hari adalah jarak perhitungan ukuran manusia, tentang berjaya atau gagalnya sebuah teraju pemerintahan baru bagi fasa pertama pentadbirannya. Jika ia gagal, maka pemerintahan baru tersebut diandaikan akan gagal selamanya. Jika tidak gagal pula, maka harapan tentang pentadbirannya bagi fasa berikutnya yang lebih panjang, tidaklah gelap.

Ukuran kejayaan pula diukur dengan apa perubahan yang dibuat, diketahui dan dirasai oleh rakyat.

Datuk Seri Idris Jusoh mengambilalih pentadbiran dari kerajaan PAS pada tahun 2004, memulakan pentadbiran baru dengan memasang lampu yang banyak bagi mencerahkan bandar Kuala Terengganu. Dia nampak hebat dan melakukan perubahan yang sangat besar, walaupun kerjanya kecil saja.

Di Kedah, pasca kejatuhan BN 2008, perubahan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan Razak tidak nampak besar dan drastik, tetapi ia disenangi banyak pihak. Tidak membelasah musuh politik, tiada tindakan balas dendam, tiada pengusiran dari premis milik kerajaan negeri, tiada pertukaran dan pemecatan politik; hakikatnya adalah suatu ‘perubahan’ (dari kebiasaan bertindak) yang sangat besar bagi sebuah kerajaan baru. Ia hanya boleh dilakukan oleh pemimpin yang berjiwa besar.

Perubahan cara bertindak itu sebenarnya adalah lebih besar dari penurunan cukai tanah yang diumumkan oleh Menteri Besar.

Dalam majlis pertemuan Menteri Besar dengan pegawai kerajaan Negeri dan Persekutuan, Ustaz Azizan telah melahirkan keterharuan terhadap sikap pentadbiran kerajaan negeri yang setia bersama kerajaan pimpinannya. “Pengakuan demi pengakuan daripada ketua pentadbir daripada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan pemerintah yang baru, satu perkara yang tak terbayang oleh saya. Sikap gentlemen, menghayati konsep demokrasi, menghormati keputusan rakyat dan sama-sama menyintai Negeri Kedah yang kita sayangi. Saya sedar dalam tempoh yang singkat ini, mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang, prestasi saya dan barisan exco akan dinilai oleh rakyat. Dan tentulah amanah ini bukan satu previllage kepada kami tetapi merupakan satu tanggungjawab atau akauntabiliti. Dan akauntabiliti ini, bukan sahaja kami bertanggungjawab kepada rakyat tapi kami sedar kami juga bertanggungjawab kepada Allah SWT. Kami akan tetap ditanya di akhirat nanti dan tuan-tuan selaku pentadbir akan ditanya,” katanya.

Hari ini rakyat lega dan istana mesra dengan teraju kerajaan baru. Bahkan KCS (pegawai tadbir negeri) dan penghulu telah menumpahkan ikrar sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan baru. Maknanya tapak projek bagi melancarkan pembinaan pentadbiran sebuah kerajaan baru sudah pun kukuh, rata dan bersih. Hanya, terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinannya untuk mencorak pentadbirannya.

Merasa selesa dengan keadaan, lantaran tiada serangan musuh kadangkala tidak menguntungkan juga. Kelantan diserang sepanjang masa, sejak 1990, tetapi boleh mempertahankan pemerintahan selama lima penggal.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz pernah merasa tidak selesa apabila beberapa hari media arus perdana memujinya, dalam waktu yang sama mereka membidas pemimpin PAS yang lain. Justeru sikap berhati-hati dengan permainan musuh amat perlu wujud dalam setiap benak pemikiran pemimpin-pemimpin PAS.

Khabar angin yang bertiup kencang dalam 100 hari terakhir pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah ialah kononnya lima ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berjaya dibeli oleh BN. Kononnya juga, mereka ditawarkan tidak kurang dari RM5 juta seorang. Jika berlaku perkara tersebut, maka tentulah kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang, apabila BN mempunyai majoriti 2 kerusi. BN dikatakan sukar membeli ADUN PAS dan DAP, lantaran ketegasan sikapnya yang diketahui umum.

Zaman di mana banyak khabar angin bertukar menjadi kenyataan ini, berita cubaan membeli ADUN Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang mustahil, walaupun khabar seperti itu tiada nilai berita.
Maka ternantilah segelintir rakyat untuk melihat berlakunya pertukaran kerajaan melalui lelongan awam ADUN-ADUN. Benar atau tidak khabar angin perihal usaha membeli lima ADUN, tidaklah penting. Yang lebih penting ialah munasabah atau tidak. Ada yang berhujjah, jika Ezam dan Nallakarupan yang lebih hebat diuji, mental dan fizikal, sewaktu menjadi sekutu Datuk Seri Anwar akhirnya berpaling tadah dan menyokong Barisan Nasional, maka apalah hebat sangat orang-orang bawahan PKR? Gusar jugak penyokong kerajaan Pakatan Rakyat dibuatnya.

Tapi jika difikirkan secara logik, tiada siapa patut gusar. Andaikan, jika seorang ADUN dibayar RM5 juta, mereka perlukan RM25 juta untuk lima orang. Jika hanya empat orang boleh dibeli, BN hanya membazir RM20 juta tanpa dapat menumbangkan kerajaan. RM20 juta mungkin tidak banyak bagi BN tapi ia cukup untuk digunakan bagi membina semula kekuatan BN di Kedah.

Itu semua andaian jika kita berfikiran jahat terhadap ADUN tertentu. Hakikatnya, setakat ini tiada ADUN Pakatan Rakyat yang sanggup menjadi pelacur politik kepada BN. Kekentalan semangat perjuangan tidak boleh dijual beli. Jangankan untuk membeli lima ADUN di Kedah, untuk membeli dua ADUN di Perak pun mereka tidak mampu. Eloklah mereka yang sedang berangan-angan melihat tertegaknya sebuah kerajaan katak, mengentikan igauannya.


 Print this Send to friend Give your opinion

Archive
 :: PAS terus kukuh walau hadapi pertandingan pucuk pimpinan 
 :: Ribut Dalam Cawan 
 :: Abdullah paling gembira BN kalah 2 Bukit? 
 :: Najib punca istana diheret ke kancah politik - Mahfuz 
 :: 25 feb - umno rasuah 
 :: 18 Feb - Nota utara kerajaan katak 
 :: 18 Feb - Nota Utara (Mahadzir khalid) 
 :: 13 Feb - Presidem PAS